*☆·˙♥●*☆•·˙*☆*☆·˙♥●*☆•·˙*☆*☆·˙♥●*☆•·˙*☆*☆·˙♥●*☆•·˙*
Mus’ab bin Umair
*☆·˙♥●*☆•·˙*☆*☆·˙♥●*☆•·˙*☆*☆·˙♥●*☆•·˙*☆*☆·˙♥●*☆•·˙*
Mus’ab
bin Umair adalah salah seorang sahabat yang memeluk Islam pada masa awal
keislaman. Beliau lahir dan dibesarkan dalam kemewahan dan kesenangan. Pada
waktu remaja beliau menjadi buah mulut gadis-gadis Mekah kerana wajahnya yang
tampan ditambah pula dengan kekayaannya, otak yang cerdas serta akhlaknya yang
terpuji.
Suatu
hari beliau mendengar berita mengenai Muhammad (SAW) dan apa yang diajarkan
baginda. Iapun tertarik dan memutuskan untuk pergi ke rumah Arqam, suatu tempat
dimana kaum muslimin berkumpul dan belajar. Disana beliau mendengar ayat-ayat
Al-Quran yang begitu mempesona. Hatinya menjadi tenang dan damai mendengar
untaian ayat-ayat tersebut. Maka Mus’ab pun memutuskan untuk memeluk ajaran baru
ini. Namun ibunya adalah seorang yang tegas, pendiriannya tidak dapat
diganggu-gugat. Oleh sebab itu Mus’ab memutuskan untuk menyembunyikan
keislamannya buat sementara waktu. Namun tak lama kemudian ibunya mengetahui
hal tersebut. Ibunya berusaha memujuk agar Mus’ab mahu kembali memeluk ajaran
nenek moyang mereka namun Mus’ab menolak sehingga akhirnya ibunya putus asa dan
menghentikan pemberian wang serta mengurung Mus’ab di bilik tidurnya dan
melarangnya keluar rumah.
Tidak
lama kemudian Mus’ab mendengar berita bahawa kaum Muslimin hendak berhijrah ke
Habsyah (Ethiopia). Mus’ab memutuskan untuk melarikan diri dan ikut serta
bersama kaum Muslimin untuk sama-sama hijrah ke Habsyah Beberapa waktu kemudian
kerana terdengar desas-desus bahawa kaum Quraisy telah mengurangi tekanan
terhadap kaum muslimin, mereka memutuskan untuk kembali ke Mekah, begitu juga
dengan Mus’ab. Mereka segera menemui Rasulullah dan para sahabat.
Apabila
melihat Mush’ab, Rasulullah menitiskan airmata, penampilan Mus’ab sungguh
berbeza, ia berpakaian usang dengan tampalan disana-sini. Rasulullah menatapnya
dengan penuh kasih sayang dan bersabda: “ Dahulu aku lihat Mus’ab ini tak ada
masalah dalam memperoleh kesenangan dari orang tuanya, kemudian ditinggalkannya
semua itu demi cintanya kepada Allah dan RasulNya”.
Setelah
peristiwa baiah Aqabah yang pertama pada tahun ke 11 kenabian, Mus’ab
ditugaskan oleh Rasulullah (SAW) sebagai duta kaum muslimin ke Madinah untuk
mengajarkan Al-Quran dan pelbagai pengetahuan lain mengenai Islam kepada penduduk
disana. Berkat kecerdasan, kesabaran dan kebesaran jiwanya ia berjaya mengajak
sebahagian besar masyarakat kota itu untuk memeluk Islam. Itulah sebabnya ia
dikenali dengan panggilan Muqri’ul Madinah. Dan sejak itu pula setiap orang
yang mengajarkan Al-Quran disebut “Mus’ab”. Kemudian pada musim haji tahun
berikutnya Mus’ab berjaya mengajak lebih dari 70 kaum Muslimin ke Mekah dimana
kemudian terjadi perjanjian Aqabah 2. Sejak saat itu Mus’ab tidak pernah
terkecuali dari menyertai Rasulullah berperang.
Dalam
perang Uhud Mus’ab diberi kepercayaan oleh Rasulullah (SAW) sebagai pembawa
bendera pasukan. Peperangan berlangsung dengan sengit. Pada mulanya pasukan
kaum muslimin menguasai keadaan namun ketika pasukan pemanah yang ditugaskan
untuk bertahan diatas bukit melanggar perintah kerana melihat begitu banyaknya
harta rampasan perang yang ditinggalkan di hadapan mereka, keadaan menjadi
berubah sebaliknya. Tanpa diduga pasukan kafir yang dipimpin Khalid bin Walid
yang waktu itu belum memeluk Islam membuat serangan mengejut dari sebalik bukit
sehingga pasukan kaum muslimin menjadi kucar-kacir. Mus’ab sungguh terkejut. Ia
sangat bimbang akan keselamatan Rasulullah (SAW). Jika Rasulullah (SAW)
terbunuh di perang tersebut bagaimana nasib ajaran Islam yang baru saja
berkembang itu ?
Lalu
iapun segera menjerit “ Muhammad itu tiada lain hanyalah seorang Rasul yang
sebelumnya telah didahului oleh beberapa Rasul ” sambil mengibarkan bendera
dengan tinggi dan bertakbir lalu menyerang musuh dengan gagah berani. Namun kemudian
pihak musuh berjaya menetak tangannya hingga putus. Mus’ab segera memindahkan
bendera ke tangan kirinya namun kali inipun ia tidak berjaya mengelak serangan
lawan sehingga tangan kirinya juga ditetak pedang musuh. Mus’ab segera
membongkok kearah bendera lalu dengan kedua pangkal lengannya diangkatkan ke
dada sambil terus bertakbir. Namun kali ini lawan menyerangnya dengan
menusukkan tombak ke dada Mus’ab. Mus’ab pun gugur sebagai seorang syuhada’
yang gagah berani. Ironiknya, wajah Mus’ab yang memang mirip Rasulullah (SAW)
itu justeru menjadi penyebab berita bahawa sememangnya Rasulullah telah
terbunuh! Hingga membuat pasukan kaum muslimin semakin kacau dan panik.
Diakhir
peperangan, Rasulullah berserta para sahabat meninjau medan perang dan mendapati
jasad Mus’ab. Tak ada sehelaipun kain untuk menutupinya selain sehelai burdah
yang andai diletakkan di atas kepalanya terbukalah kedua kakinya. Sebaliknya
bila ditutup kakinya maka terbukalah kepalanya. Maka Rasulullah bersabda : ”
Tutupkanlah ke bahagian kepalanya , kakinya tutuplah dengan rumput idzkir!”.
Itulah
akhir perjuangan Mus’ab bin Umair dalam menegakkan agama yang tidak gentar
menghadapi musuh-musuh Allah, iaitu orang-orang yang enggan mengakui bahawa
“Tiada Tuhan yang patut disembah melainkan Allah dan Muhammad adalah Rasul
Allah”( Laa ilaaha illaLLAH wa asyhadu anna Muhammad Rasulullah).
“
Katakanlah: “Taatilah Allah dan Rasul-Nya; jika kamu berpaling, maka
sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang kafir”.(QS. Ali Imran(3):32).
Itulah
kalimah tauhid, kalimah yang mampu menghantar manusia menuju redha sang
pencipta, kerana memang Dialah yang menciptakan manusia, langit dan bumi serta
apa yang ada diantara keduanya. Dialah Zat satu-satunya yang memegang jiwa dan
hidup seseorang.
Inilah
kalimah syahadah yang merupakan pintu gerbang keislaman seseorang. Sebuah
pengakuan yang akan mencerminkan kebebasan dan kemerdekaan dari penyembahan,
kepatuhan dan ketundukan kepada selain Allah SWT.
“Katakanlah
(hai orang-orang mukmin): “Kami beriman kepada Allah dan apa yang diturunkan
kepada kami, dan apa yang diturunkan kepada Ibrahim, Ismail, Ishak, Yaakob dan
anak cucunya, dan apa yang diberikan kepada Musa dan Isa serta apa yang
diberikan kepada nabi-nabi dari Tuhannya. Kami tidak membeza-bezakan seorangpun
di antara mereka dan kami hanya tunduk patuh
kepada-Nya”.(QS.Al-Baqarah(2):136).
Syahadah
adalah inti ajaran Islam yang mengajarkan keadilan dan persamaan hak. Manusia
disisi Allah adalah sama hanya ketakwaan yang membezakannya .
“
Dan Ibrahim telah mewasiatkan ucapan itu kepada anak-anaknya, demikian pula
Ya`qub. (Ibrahim berkata): “Hai anak-anakku! Sesungguhnya Allah telah memilih
agama ini bagimu, maka janganlah kamu mati kecuali dalam memeluk agama
Islam”.(QS.Al-Baqarah(2):132).
Seorang
muslim minimum 5 kali dalam sehari dalam solatnya mengikrarkan sebuah janji
melalui doa Iftitah, yang semestinya diikuti dengan pelaksanaan janji tersebut
bahawa hidup dan matiku hanyalah untukMu, Yaa Allah.
“
Katakanlah: “Sesungguhnya solatku, ibadatku, hidupku dan matiku hanyalah untuk
Allah, Tuhan semesta alam, tiada sekutu bagi-Nya; dan demikian itulah yang
diperintahkan kepadaku dan aku adalah orang yang pertama-tama menyerahkan diri
(kepada Allah)”. (QS.Al-An’aam(6):161-163).


0 comments:
Post a Comment